Wednesday, April 1, 2009

Reka bentuk dalaman: Fungsi meja kopi, sisi

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM, Shah Alam)



Meja besar boleh menempatkan perhiasan dan buku kegemaran.

Kedua-dua perabot tidak sama peranannya kerana hidangan diletakkan di meja kopi manakala barangan hiasan di meja sisi

Perabot dicipta mempunyai fungsi dan kegunaan tertentu. Fungsi itu perlu disesuaikan dengan aktiviti dilakukan, jika tidak perabot berkenaan tidak dapat digunakan dengan baik. Setiap ruang memerlukan perabot kerana ia menjadikan ruang lebih berfungsi.

Ruang tamu misalnya, set sofa diperlukan untuk menjadikan ruang itu berfungsi dengan baik. Set sofa pula tidak boleh bertindak sendirian tanpa sokongan perabot lain bagi melengkapi fungsi. Justeru, meja kopi dan sisi diperlukan untuk digandingkan bersama set sofa.

Fungsi

Apakah fungsi meja kopi dan meja sisi? Fungsi utama meja kopi untuk kemudahan meletak hidangan manakala meja sisi digunakan sebagai tempat mempamerkan barangan hiasan. Bagaimana pula kedudukan reka letak meja kopi dan meja sisi?



Meja kopi lazimnya diletakkan di tengah-tengah set sofa pada ruang tamu manakala meja sisi pula sudah tentu diletakkan di sisi kerusi sofa terutama sofa panjang.
Meja kopi segi empat mudah disesuaikan di tengah dan sudut ruang tamu.

Disebabkan fungsi dan kedudukan meja kopi dan meja sisi tidak kekal, maka tidak semua orang membeli set lengkap. Sebaliknya, mereka memilih sofa saja untuk digandingkan dengan meja kopi atau sisi daripada jenis lain dengan reka bentuk lebih unik dan cantik.

Reka bentuk

Reka bentuk memainkan peranan penting menentukan sama ada meja kopi dan sisi berfungsi dengan baik. Pertama, yang perlu dipastikan adalah saiz meja berkenaan bagi menentukan kesesuaian untuk digandingkan dengan set sofa dan keluasan ruang.

Jangan memilih ukuran besar jika ruang tamu tidak luas kerana ia mengambil sebahagian besar ruang selain menghalang dan mengganggu pergerakan. Begitu juga dengan meja kopi kecil yang tidak disyorkan menghiasi ruang tamu luas supaya kehadirannya tidak janggal digandingkan dengan set sofa.


Pemilihan perabot kriteria utama menentukan kesempurnaan ruang.

Ukuran meja kopi yang besar kemungkinan digunakan tuan rumah bukan untuk meletak hidangan saja tetapi juga ditempatkan perhiasan dan buku kegemaran.

Ketinggian meja kopi dan meja sisi biasanya sama iaitu ketinggian minimum 16 inci dan maksimum 18 inci dari paras lantai. Jika ketinggiannya tidak dipastikan, mungkin terpilih meja kopi yang terlalu rendah atau tinggi seterusnya menyebabkan reka bentuknya janggal.

Reka bentuk biasa meja berkenaan adalah segi empat menyebabkannya mudah disesuaikan pada kedudukan di tengah dan di sudut. Begitupun, ada juga yang berbentuk bulat dan segi tiga. Justeru, sebelum memilih, pastikan dulu bentuk dan ukurannya agar tidak mengganggu pergerakan selain tiada sisi meja tajam yang membahayakan keselamatan. Kalau boleh, warna, reka bentuk dan kemasannya mampu bergandingan dengan perabot lain.

Sesetengah meja kopi dilengkapi ruang simpanan terbuka dan berlaci untuk diisi majalah dan akhbar. Sekiranya berhasrat mempamerkan koleksi peribadi, pastikan dimensi meja bersesuaian ukuran bahan perhiasan.

Pasti nampak janggal barangan kecil di atas meja besar, ia sebenarnya sesuai dipamerkan di meja sisi. Biasanya, meja kopi hanya dihiasi jambangan bunga atau bekas menarik daripada kristal, perak dan kayu. Perhiasan kecil lebih sesuai disusun berkumpulan.

Bahan dan kemasan

Selain reka bentuk, pemilihan bahan juga penting bagi memastikan sesuatu perabot menarik serta mempunyai nilai dari segi mutu. Sebahagian besar meja kopi dan sisi diperbuat daripada kayu keras seperti meranti, nyatoh dan mahogani selain logam dan rotan. Kesemua bahan ini harus digarap dengan baik bagi menghasilkan reka bentuk yang baik dan bermutu bagi disesuaikan dengan set sofa.

Kemasan adalah penyudah kepada bahan yang digunakan. Sekiranya kemasan yang digunakan tidak baik dari segi mutu kerja maka bahan yang digunakan tidak menampakkan nilai dari segi mutu dan keaslian bahan digunakan.

Pemilihan

Pemilihan perabot dan bagaimana ia disusun adalah kriteria utama dalam menentukan kesempurnaan ruang. Bagi mengelakkan konflik identiti sebaiknya beli set sofa berserta meja kopi dan sisi yang disediakan sekali. Begitupun, cita rasa manusia berbeza dan sukar ditentukan menyebabkan kebanyakan mereka gemar membeli meja kopi dan sisi secara berasingan. Alasan diberikan pastinya reka bentuk dan kemasan menarik yang ditawarkan. Yang mungkin tidak didapati jika membelinya bersama set sofa.

Faktor harga turut mempengaruhi pemilihan. Set sofa yang dianggap keperluan utama dibeli dulu berbanding perabot lain. Penjual pula menyediakan pilihan menerusi penetapan harga yang berbeza tidak kira yang dibeli set penuh atau tidak.

Set meja kopi dan meja sisi walaupun berbeza jenis, dinasihatkan dipilih daripada warna bahan, reka bentuk dan kemasan yang sepadan dengan perabot lain. Ini bagi mengelakkan berlakunya perbezaan ketara pada ruang itu nanti. Selain itu, pemilik ruang boleh membeli meja yang sudah siap atau ditempah mengikut rekaan dan keperluan sendiri.

Tip memilih meja kopi dan meja sisi

  • Guna cermin sebagai lapisan atas bagi melindungi permukaan meja dari calar sekiranya bahan yang digunakan daripada kayu. Pastikan cermin itu tahan hentakan.

  • Cari reka bentuk meja kopi dan meja sisi yang mempunyai kestabilan. Elak memilih reka bentuk berkaki satu yang dikhuatiri kurang stabil.

  • Tentukan saiz ruang meja kopi bakal ditempatkan bagi mengelakkan pemilihan ukuran meja kopi terlalu besar dan menghalang pergerakan.

  • Elak memilih meja berbucu tajam sekiranya berbentuk empat segi bagi mengelakkan kecederaan kepada kanak-kanak. Meja berbentuk bulat adalah selamat dan mudah disesuaikan dengan semua arah dan sudut.

  • Jangan meletak terlalu banyak perhiasan pada meja kopi dan meja sisi hingga menyebabkan hilang fungsinya. Gunakan bahagian tengah meja untuk mempamerkan hiasan dan pastikan bahagian setiap sisi dibiarkan kosong.

  • Meja kopi dan meja sisi boleh dijadikan ruang penyimpanan tertutup kerana meja kopi berbentuk kotak berukir dari bahan kayu atau rotan boleh diisi dengan majalah terpakai dan barang lainnya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

1 comment:

  1. tips yg amat membantu.bolehkah tlg buat satu design yg simple dan moden utk saya

    ReplyDelete