Wednesday, April 1, 2009

Tropika Melayu pilihan mahligai hinggap

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


Unsur kayu menguasai ruang.

Almaz pilih kayu kerana sejuk dan mahukan aura kampung

SETINGGI-tinggi terbang bangau, di belakang kerbau mendarat jua. Puas merantau ke serta dunia dunia, akhirnya pulang ke pangkuan desa. Perumpamaan ini sesuai menggambarkan Arkitek Almaz Salma Abdul Rahim yang menemukan akar umbi budaya dalam pembinaan mahligai persinggahannya di pinggir desa Kuang.

Gaya tropika Melayu kontemporari menunjangi hiasan dalaman. Bagi menzahirkannya, segenap ilmu seni bina dicurahkan namun pendirian Almaz menolak estetika reka bentuk bagi memberi laluan kepada keselesaan, wajar dipuji.

“Suasana selesa cuba saya wujudkan tanpa mengharapkan bantuan alat pendingin hawa, kipas dan lampu. Sebaliknya, corak, orientasi dan pelan lantai diteroka bagi membawa masuk udara dan pencahayaan,” katanya.

Jendela rumah kampung dan siling tinggi daripada alang kayu dibina semata-mata menjemput udara nyaman dari taman dan cahaya semula jadi ke dalam rumah.

Apapun, kekuatan banglo setingkat berkeluasan 3,350 kaki persegi ini bergantung penuh kepada material kayu terpakai yang membentuk struktur lantai serta dinding. Kayu bagi Almaz sangat istimewa kerana sejuk dan memenuhi hasratnya menghidupkan kembali aura rumah kampung.


Ruang tengah rumah dilengkapi kolam renang bersama hiasan dinding batu pasir.

“Boleh dikatakan rumah ini menonjolkan seratus peratus kayu bermula dengan lantai, dinding hingga ke siling. Kediaman berasaskan kayu sejuk diduduki kerana berupaya menangkap pengudaraan,” katanya yang turut mengambil inisiatif menanam beberapa spesies balak seperti merbau, cengal, nyatoh, kembang semangkuk dan jati di sekitar rumah.

Kedudukan kolam renang yang bersambung dengan ruang tamu, ruang dapur dan bilik tidur secara tidak langsung menjadikannya titik fokus kediaman. Di samping menyelitkan daya tarikan, tujuan utama kolam dibina kata Almaz, mengelakkan ruang diserkup kegelapan gara-gara penonjolan terlalu banyak unsur kayu.

Sementara, dilihat dari sudut Islam, binaan kolam dalam rumah, amat digalakkan terutama kediaman yang dihuni wanita bertudung sepertinya.

“Kedudukan kolam yang terlindung daripada pandangan umum memungkinkan kita melakukan apa saja termasuk bersantai dan mandi tanpa bimbang ada mata lain yang memandang,” katanya.

Meja makan berpemukaan granit.

Bagi mengelakkan lantai kayu sekeliling kolam rosak dan reput berpunca percikan air, Almaz bersedia dengan memasang lantai kayu barnis di tempat itu.

Sesuai redup kayu dan keinginan mewujudkan pertalian dengan alam, Almaz cuma memberi keutamaan kepada warna semula jadi. Ini yang mempengaruhi gandingan warna hijau dan putih di ruang tamu serta ruang makan.

“Saya pilih langsir hijau untuk disesuaikan dengan kesegaran landskap halaman. Namun, untuk kamar tidur peribadi, saya suka memilih putih dan krim yang nampak semula jadi,” katanya.

Tidak ada sebuah ruang pun memaparkan warna serupa. Bilik anak lelaki misalnya, menampilkan serba biru manakala merah jambu menghiasi kamar anak perempuan atas permintaan mereka sendiri.

“Saya beri kebebasan kepada anak-anak memilih warna yang mereka suka,” katanya.

Bagaimanapun, untuk bilik air, warna dipilih masih terikat dengan unsur alam. Buktinya, hijau menjadi tema bilik air Almaz yang diterapkan menerusi kemasan jubin seramik. Manakala, anak lelaki tetap dengan pendiriannya mengekalkan biru sedondon bilik tidur.

Kebanyakan bilik air mengetengahkan reka bentuk terbuka yang boleh dilihat sama ada melalui binaan tanpa bumbung atau dengan cara menebuk lubang di dinding.

“Sengaja saya tebuk lubang di dinding memuatkan jakuzi supaya angin dapat keluar masuk ruang. Bagusnya, sambil mandi, saya boleh menikmati keindahan alam. Sedikit pun saya tidak risau pengintip ataupun penceroboh kerana kedudukan bilik air ini jelas tersorok dari penglihatan orang,” katanya.

Perabot jati berusia lebih 50 tahun mengisi kediaman. Almaz memang berminat dengan perabot lama kerana menyerlahkan keaslian rekaan, teliti pembuatannya di samping nampak antik dan klasik. Begitupun, agar rumah tidak nampak macam gedung perabot antik, Almaz menyisipkan satu dua upholsteri dan kusyen hiasan yang mewakili gaya moden.

Tip
Tropika Melayu

  • Sumber bekalan air rumah ini diperoleh daripada telaga yang digali sedalam 200 kaki namun dipam serta ditapis sebelum digunakan. Air telaga berkenaan sudah diuji di makmal serta diakui mengandungi zat galian sama seperti air mineral biasa.

  • Menara berpermukaan bongkah batu dibina khusus menempatkan tangki air. Puncak menara menyediakan set kerusi tamu untuk bersantai kala ingin menikmati keindahan alam.

  • Air takungan hujan digunakan untuk menyiram tanaman sekitar halaman.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Reka bentuk dalaman: Pemidang bukan sekadar pemisah ruang

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM, Shah Alam)


Boleh dijadikan sebahagian daripada perhiasan yang membantu bangkitkan seri dan keindahan ruang

RUANG perlu dipisahkan kepada beberapa bahagian untuk membolehkannya berfungsi sendiri. Jika tidak dibahagi, ruang tidak dapat berfungsi dengan baik kerana akan berlaku pertembungan antara aktiviti. Ruang yang dipisahkan boleh dibahagi kepada dua iaitu ruang kekal dan ruang sementara. Ruang kekal dibahagi dengan menggunakan binaan kekal yang dipanggil dinding manakala ruang sementara menggunakan binaan sementara yang dipanggil pemidang atau skrin.

Pemidang kini bukan lagi berfungsi sekadar pemisah atau pembahagi ruang dalam rumah atau pejabat, tetapi sudah menjadi sebahagian perhiasan estetika yang membantu membangkitkan seri dan keindahan ruang. Atas keperluan rekaan dan hiasan bagi menyerikan ruang, pemidang boleh dihasilkan sama ada secara kekal atau yang mudah dialihkan. Bagi pemidang jenis kekal rekaannya mesti diselaraskan reka bentuk rekaan di sekelilingnya. Manakala pemidang jenis mudah alih pula tidak terlalu terikat binaan sekelilingnya. Atas kebebasan ini menyebabkan pereka mula menghasilkan pelbagai bentuk dan ukuran pemidang untuk memberi pilihan kepada pemilik ruang membuat pilihan yang sesuai dengan ruang rumah mereka. Rekaan yang dihasilkan kadang kala dihiasi ukiran, hiasan dan warna bagi memberi peluang pengguna membuat pilihan.

Pilihan reka bentuk pemidang

Pilihan reka bentuk pemidang bergantung kepada pemilihan bahan. Penggunaan bahan itu akan menentukan fungsi dan bagaimana pemidang berfungsi dengan baik. Sebagai contoh pemidang granit, konkrit, kaca dan marmar biasanya dipasang kekal di sesuatu ruang, misalnya untuk memisahkan dapur dan ruang tamu. Manakala pemidang kayu, rotan, kaca dan besi lebih berfungsi sebagai pembahagi ruang sementara dan pemidang boleh juga dijadikan tempat menggantung barangan hiasan dan bunga-bungaan.


Pemidang kayu


Biasanya boleh didapati dalam bentuk bukaan dua, empat atau enam keping daripada jenis berlipat supaya mudah dialih.

Penggunaannya memang tidak asing bagi kebanyakan orang dan terkenal dengan ketahanannya menghadapi sebarang cuaca. Ia juga mudah diukir dan dihasilkan dalam sekurang-kurangnya tiga keping yang boleh dilipat. Lazimnya, ia menjadi sebahagian perhiasan, selain bertindak sebagai pembahagi ruang. Pemidang kayu boleh digabungkan dengan bahan lain seperti bahan kaca, bahan semula jadi seperti buluh, rotan atau mengkuang dan juga dari besi. Gabungan ini menjadikan pemidang kayu lebih menarik dan menjadi pilihan.

Harga setiap pemidang berbeza, bergantung jenis bahan terutama kayu, ukiran dan rekaan, selain negara pengeskport (jika pemidang itu buatan luar negara).

Pemidang buluh atau rotan

Biasanya didapati dalam dua, empat atau enam keping daripada jenis berlipat supaya mudah dialih. Pemidang rotan lebih ringan berbanding bahan lain seperti kayu.

Pemilihan pemidang dari bahan semula jadi seperti rotan amat menarik kerana tekstur bahan yang dikemas dengan pilihan kemasan yang menaik seri bahan berkenaan. Pemidang rotan boleh digandingkan dengan bahan semula jadi lain seperti mengkuang atau jerami. Rekaan pada permukaan pemidang boleh dihasilkan dengan rekaan corak menarik yang boleh menghasilkan permukaan pemidang tidak telus lihat atau semi telus lihat.

Pemidang kaca

Kaca adalah bahan yang agak merbahaya kerana mudah pecah tetapi dengan adanya teknologi terkini perkara ini tidak mungkin terjadi. Tetapi orang ramai masih menganggap kaca merbahaya dan mudah pecah.

Penggunaan kaca sebagai bahan untuk pemidang boleh digunakan dengan dua cara sama iaitu secara kekal atau mudah alih. Jika digunakan secara kekal, soal pemasangannya tidak menjadi masalah berbanding secara mudah alih. Pemidang kaca mudah alih memerlukan rangka pemegang yang kukuh. Rangka boleh menggunakan bahan seperti kayu atau besi.

Hiasan pada kaca amat menarik untuk diterokai. Keperluan bagaimana pemidang kaca boleh berfungsi sebagai pembahagi ruang bergantung kepada hiasan pada permukaan kaca itu. Jika memerlukan pemidang berfungsi sebagai pembahagi ruang privasi ruang, kaca pemidang mesti tidak telus pandangan berbanding jika ruang semi privasi, maka kaca pemidang boleh dihias dengan hiasan tekstur dan corak yang menarik pada permukaan kaca.

Pemidang besi

Bagi yang menggemari hiasan ringkas atau mewah, pemidang besi tempawan adalah pilihan paling sesuai. Pemidang besi adalah paling kukuh kerana bahan digunakan dan binaannya. Rekaan dekoratif dan ukiran pada besi dan kemasan menggunakan warna keemasan menjadi pemidang besi nampak mewah dan eksklusif.

Oleh kerana kekukuhannya pemidang besi kadang kala boleh dijadikan sebagai pintu gril dan selain pemidang besi boleh dilipat ia juga boleh digelongsor. Bagi memudahkan untuk dialih kaki pemidang besi boleh diletakkan roda.

Pemidang granit atau marmar

Pemidang dari bahan granit atau marmar amat tahan lama berbanding jenis kayu walaupun terdedah kepada hujan, panas dan serangan serangga serta bubuk. Binaan pemidang granit dan marmar ini biasanya kekal di sesuatu tempat kerana ia terlalu berat untuk dialih dan dilipat. Melihat kepada bahan berkenaan, maka pemidang jenis ini adalah jenis tidak telus pandangan. Bagaimanapun terdapat pemidang granit atau marmar boleh dibuat sebagai telus pandangan tetapi kos amat tinggi kerana bahan itu perlu ditebuk.

Umumnya, pemidang granit ini adalah kemasan yang dipasang di binaan kayu atau konkrit, dalam bentuk kepingan kecil. Permukaannya yang licin dan berkilat, tahan pada goresan dan kesan kekotoran menjadikan pemidang jenis paling kurang kos untuk diselenggara. Kecantikan granit dan marmar bukan saja pada corak semula jadi tetapi juga pada warna. Antara warna yang biasa digunakan ialah hitam, merah dan kelabu.

Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Gaya Oriental tenangkan minda

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

Panel dinding ukiran kayu, perabot rotan, rak menyimpan botol unik dan lampu lantai anyaman rotan mewakili gaya ini.

Bahan semula jadi seperti buluh menjadi tunjang konsep yang dicetuskan dari China dan Indonesia

GAYA Oriental menyajikan unsur mistik dan tenteram sekali gus menawarkan ketenangan minda. Baik kediaman agam mahupun berlatarkan gaya minimalis, gaya yang dicetuskan dari negara China dan Indonesia ini kini menular ke seluruh dunia.

Material semula jadi seperti buluh menjadi tunjang konsep Oriental selain seni pertukangan perabot, perhiasan dan tekstil. Latar warnanya menakluk dan menggetar jiwa. Manakala, perasaan hormat terhadap sesuatu bersifat spiritual diterjemahkan menerusi simbol corak, warna, artifak di samping cara objek ditempatkan.

Penambahan sedikit unsur feng shui membuatkan gaya ini tidak jemu dipandang dan kekal bertahan biar bertahun mendatang.

Rencana How to Decorate a Home in an Oriental Theme tulisan Chantel Alise untuk laman web http://www.ehow.com menggariskan tip dan panduan menggayakan gaya Oriental;


Pengukuhan Tema
Kelengkapan dan perhiasan di Portobello Road Emporium menepati selera pengunjung tema oriental.

1. Tetapkan ruang yang akan menggunakan gaya Oriental. Sesetengah orang memilih konsep ini sebagai tema hiasan utama manakala ada juga yang mencubanya di ruang dan sudut tumpu.

2. Tentukan jumlah ruang bakal disuntik tema Oriental. Mungkin anda memilih menyelitkan kelengkapan dan perhiasan Oriental di ruang bergaya kontemporari. Tidak kurang yang mengehadkan pilihan gaya ini kepada perabot saja.

3. Ambil ukuran bilik bagi memudahkan pembelian perabot, kemasan lantai dan dinding. Ini juga membantu menganggar luas ruang untuk menempatkan perabot bersama perhiasan.

4. Buat lakaran pelan lantai mengambil kira pintu, almari, tingkap, rak siap dibina dan segala yang perlu dipertimbangkan dalam merancang gaya.

5. Dalam pelan lantai turut disertakan jenis kemasan lantai, dinding dan tingkap bertujuan menetapkan reka bentuk asas seluruh bilik. Tentukan jenis kayu, permaidani, cat dan jubin lantai. Pilih jenis, warna dan tekstur cat dan kertas dinding.

Jangan lupa memilih bingkai pintu almari, tingkap dan sempadan dinding (jika ada). Dalam pada itu, tetapkan sekali kemasan tingkap membabitkan pilihan bidai atau langsir.

6. Pilihan cat dan kertas dinding harus bersesuaian tema. Sebolehnya, tonjolkan cat menampilkan warna asas selamat seperti pastel dan beige manakala kertas dinding menonjolkan tema Oriental. Untuk lebih berkesan, satu atau lebih dinding dihias dengan satin, sutera mewah dan mural motif mententeramkan jiwa. Misalnya, bunga teratai stensil dijadikan hiasan tambahan cat dinding polos atau kertas sempadan dinding menghiasi dinding warna redup.

7. Lantai kayu keras dan berlamina melengkapi tema. Namun, lindungi lantai dengan ambal corak organik yang ditempatkan di laluan strategik seperti pintu serta ruang legar. Konsep Oriental juga boleh diwakili lantai jubin seramik yang menawarkan tekstur menawan.

8. Cuba bidai putih, hitam dan merah serta fabrik bertekstur yang menawarkan dimensi ruang.

Perhiasan

1. Atur kelengkapan bilik

2. Pasang langsir daripada material yang menepati kriteria dan motif Oriental. Fabrik satin dan sutera mewah tambah menawan andai diberi sentuhan tambahan skarf sifon lembut, langsir senteng bersulam corak ranggi dan pengikat langsir motif kerawang.

3. Pilih fabrik cadar dan bantal rekaan Oriental. Untuk kesan menarik, gandingkan fabrik polos dengan bercorak.

4. Tema Oriental turut diutarakan menerusi terendak lampu corak etnik. Bagi yang kreatif, boleh memilih badan lampu yang dibentuk daripada pasu etnik untuk digandingkan dengan terendak polos.

5. Gantung lukisan dan gambar motif Oriental. Topeng wajah dari Jepun, Korea dan China serta plak bertatah mutiara berfungsi sebagai hiasan pelengkap.

6. Pokok hidup dalam pasu etnik cina, bekas buluh, tembikar dan patung kecil yang diletak di meja dan rak buku berupaya mencuri tumpuan mata.

Tip
Gaya Oriental

  • Gandingkan corak bertekstur dengan polos.

  • Pilihan kelengkapan dan perhiasan sepatutnya menampilkan gaya Oriental berkualiti.

  • Kelengkapan dipilih sepatutnya boleh ditempatkan di mana-mana sudut kediaman.

  • Elakkan menampilkan perubahan terlalu drastik dengan menyentuh mana-mana ruang yang tidak perlu diubah.

  • Hindari memilih aksesori tidak berciri serba guna.

  • Jangan pilih fabrik terlalu mewah dan berukuran tebal hingga sulit dibersihkan.

  • Berwaspada menggandingkan corak dan tekstur supaya ruang tidak nampak sarat dan celaru.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Gaya penataan bilik air kena ceria

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
Ruang mandi kubikal menjimatkan ruang.

Tata hias moden buatkan 'kamar kecil' di rumah anda lebih eksklusif

GAYA penataan bilik air selalu diabaikan. Tidak ramai sanggup berbelanja besar kerana menganggap ruang berkenaan hanya dikunjungi bagi membersihkan diri dan melakukan perkara rutin lainnya.

Pengarah Eksekutif Kreatif, XUOX Design, Zuraini Anuar tidak bersetuju dengan kenyataan ini sebaliknya menganggap bilik air, nadi kediaman kerana persiapan menempuh hari baru bermula di sini.

Justeru, sewaktu membina rumah, sertakan sekali perancangan membina bilik air. Luangkan masa berbincang dengan pakar hiasan dalaman mengenai rekaan bilik air bakal dizahirkan.

Susun atur bilik air lazimnya seragam membabitkan sinki yang dipasang bersebelahan tandas. Manakala, berdekatan tandas ditempatkan ruang mandi pancur bersama tab mandi. Bagi ruang sempit, susun atur begini menyesakkan.

Berikutan itu, Zuraini mengesyorkan supaya memasang sinki di luar bilik air memandangkan fungsinya sekadar tempat membasuh tangan, muka dan memberus gigi.


Cermin mewujudkan kesan luas.

"Mengubah sinki ke luar bukan saja menjimatkan ruang bahkan dua aktiviti dapat dilakukan serentak. Ketika suami mandi, isteri boleh memberus gigi di luar tanpa mengganggunya," katanya.

Bagaimanapun, perancangan ini berisiko kerana lantai kayu boleh reput berpunca daripada air yang memercik dari sinki. Bagi mengatasinya, kawasan bawah sinki disyorkan dipasang lantai tiruan daripada kemasan batu kerikil, sungai, refleksologi atau hamparkan ambal kecil.

Selain mengubah sinki, ruang bilik air mampu dijimatkan melalui pemasangan pintu kaca sorong. Ini dicadangkan Zuraini bagi bilik air berkongsi pelan lantai dengan bilik tidur.

Pintu kaca sorong menurut Zuraini, tidak mengganggu aliran pergerakan ruang ketika dibuka tutup selain rekaannya tidak mengambil banyak kawasan.


Susun atur kelengkapan bilik air sempit.

Sementara pilihan kemasan pintu kaca kabut menyediakan impak menarik kerana ciri tembus pandangnya mengundang kemasukan cahaya semula jadi sekali gus menghadirkan suasana segar dan bermaya di bilik air.

Meskipun cermin berperanan membentuk kesan luas, tidak semua orang selesa dikelilingi cermin apatah lagi saat melakukan perkara paling peribadi.

Bagi yang berhasrat menggantung cermin di bilik air, Zuraini menyarankan ditetapkan dulu sudut bersesuaian.

"Biasanya, dinding tumpu dan terbesar dipilih kerana mewujudkan pantulan jauh ke belakang. Namun, bergantung juga kepada individu kerana ada yang tidak selesa menatap tubuh sendiri di cermin. Disebabkan itu, elok cermin dipasang di dinding berdekatan sinki saja. Dan, cermin berkenaan sebaiknya digantung pada ketinggian pinggang orang dewasa kerana hanya menghidangkan pemandangan mana perlu ditengok saja," katanya yang turun menyarankan dinding diberi kemasan penyudah sandblast yang sejuk mata memandang.

Rahsia keceriaan bilik air juga terselit menerusi cat dinding dan mozek pelbagai warna. Justeru, kata Zuraini, jangan sesekali bataskan pilihan anda kepada warna pucat saja sebaliknya beranikan diri meneroka warna yang mampu menggambarkan gaya hidup dan cita rasa.

Bilik air anak misalnya, sesuai mengenakan kombinasi warna lembut dan cerah berupa jingga, merah jambu, biru selain mengambil inspirasi corak gula-gula.

Jika berhajat menampilkan gaya ekslusif, Zuraini mencadangkan dinding diturap kaca mozek. Ini kerana keupayaan mozek menangkap cahaya berupaya membentuk karektor menarik bilik air.

Dari segi pencahayaan, Zuraini tidak menggalakkan penggunaan lampu bercahaya terang khasnya kalimantang kerana menimbulkan kesan luas tanpa sempadan. Sebaliknya memadai diterangi lampu tumpu bercahaya samar.

"Lampu strategik dipasang di dinding memuatkan sink dan di dalam kabinet kaca. Sementara keindahan siling lepa kumai dapat ditonjolkan dengan memasang lampu di beberapa sudut terpilih," ujarnya.

Keluasan terhad tidak bererti sempadan ruang mandi dengan tandas tidak boleh diwujudkan. Hakikatnya, ia boleh diadakan menerusi ruang mandi yang dibina secara kubikal.

Pandangan secara terus ke tandas pula dapat disekat dengan membina dinding berjubin di tengah-tengah antara sinki dan tandas.

Dinding berkenaan sebaiknya berukuran setinggi satu meter manakala bertujuan mempelbagaikan fungsinya, Zuraini mencadangkan bahagian tengah dinding ditebuk bagi dibina rak terbuka menempatkan perkakasan mandian.

Info Sinki

  • Ukuran seragam sinki ialah 33 x 22 inci. Mangkuk sinki paling kecil pula bersaiz kira-kira 12 inci.

  • Material sinki

  • Kemasan keluli tahan karat pilihan paling popular dan didatangkan dengan rekaan bergilap dan boleh diberus. Tolok ketebalannya adalah 18 hingga 23. Nombor semakin kecil menunjukkan ketebalan keluli bertambah.

  • Sinki enamel diperbuat daripada sepuhan logam atau besi dengan logam sebagai permukaan. Harga yang ditawarkan pelbagai namun semakin mahal harga sinki, semakin kuat daya tahannya terhadap kemek dan sumbing.

  • Sinki permukaan padu dihasilkan menerusi campuran poliester, damar akrilik dan dilengkapi gentian semula jadi. Sinki ini menawarkan pelbagai pilihan gaya dan rekaan.

  • Sinki akrilik dan komposit diperbuat daripada akrilik, komposit akrilik serta bahan seperti kuarza. Ada beberapa produk baru di pasaran yang dibentuk menyerupai enamel berkilat.

  • Perkara yang patut difikirkan sewaktu memilih sinki ialah bunyi dan ciri berupa kalis calar, tahan kemek, tidak sumbing selain tidak melekat kotoran.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Reka bentuk dalaman: Perabot tambahan sesuai di sudut

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM, Shah Alam)

Kabinet bukan sekadar menghias sudut tetapi mempamerkan barangan hiasan.

Menutup ruang kosong selain untuk meletakkan hiasan dan ruang simpan

PERABOT diperlukan bagi penghuni menjalankan aktiviti. Perabot juga digunakan untuk melengkapkan ruang. Berikutan itu, pemilihan perabot bersesuaian amat penting bagi memaksimumkan penggunaannya.

Dalam ruang kediaman atau pejabat, ada satu sudut yang digunakan untuk mencantikkan ruang. Perlukah sudut ruang diisikan atau dibiarkan kosong. Sesetengah penghuni akan membiarkannya lapang dengan hanya meletakkan kelengkapan asas saja.

Sudut dalam ruang dikenal pasti sebagai pertemuan antara dua dinding. Sudut ini kadang-kadang tidak berfungsi dengan baik kerana kedudukannya yang dipanggil sebagai ruang mati. Penghuni ruang seharusnya menghargai ruang sudut ini sebaik mungkin. Jangan abaikan sudut ruang walaupun ia mungkin dilihat hanya sebagai percantuman dua dinding.

Sudut ruang ini boleh dihias secantik ruang lain di dalam rumah. Cara terbaik adalah dengan mengisi dengan perabot tambahan.



Sudut ruang paling sesuai menempatkan koleksi tembikar.

Apakah petua menjadikan ruang sudut berfungsi. Petuanya mudah saja - letakkan perabot yang difikirkan sesuai dan serikan dengan perhiasan pilihan. Ini bukan saja menghidupkan sudut ruang anda, tetapi juga membangkitkan seri keseluruhan dalaman rumah. Jika bijak mengadun hiasan, sudut ruang mungkin menjadi perhatian tetamu.

Jenis perabot tambahan

Meja dan kabinet

Pelbagai bentuk dan ukuran meja dan kabinet hiasan boleh didapati sama ada segi tiga, bulat, bujur, panjang, tinggi dan rendah dicipta khusus untuk sudut ruang, ada di pasaran. Biar apa pun rupa bentuk fungsinya tetap sama iaitu mengisi kekosongan ruang sambil membangkitkan seri.

Rekaan meja sudut ini dapat diasingkan kepada gaya moden dan antik. Ada yang diperbuat daripada kayu, rotan dan besi tempawan. Ukuran dan bentuknya berbeza mengikut keperluan pengguna.

Bagi mereka yang mahu menjadikan sudut ruang sebagai tempat beristirahat, hanya perlu menyediakan meja kecil dan dua bangku atau mereka yang mempunyai rumah kecil, sudut ruang adalah tempat paling sesuai diletakkan barangan hiasan seperti koleksi tembikar dan gubahan bunga kering.

Bagi yang mempunyai barangan dan dokumen seperti buku, majalah, dan barangan lain yang dirasakan sayang untuk di buang, kewujudan kabinet sangat diperlukan. Kabinet ini bukan saja sekadar menghias ruang sudut tetapi bertindak sebagai tempat menyimpan barang. Saiz sesuatu kabinet hendaklah disesuaikan dengan kedudukan ruang. Jangan gunakan kabinet yang memakan ruang besar sehingga menidakkan kewujudan perabot lain yang dijadikan fokal dan kegunaan utama seperti kerusi sofa tetamu.

Kebanyakan kabinet yang digunakan pada ketika ini dibeli di pusat jualan perabot. Jadi kegunaannya mudah alih untuk sebarang penyusunan semula di ruang tertentu. Kelebihan ini bukan itu saja tetapi kabinet boleh dibawa bersama jika berpindah rumah. Hiasan pada sudut ruang agak terhad tetapi jika bijak mengatur ruang kabinet berkonsep modular boleh digunakan. Kabinet berkonsep modular ini boleh dibeli secara berperingkat, bermula dengan unit asas dan kemudian menambahkannya apabila ada keperluan dan peruntukan.

Kabinet sudut berkaca

Selain daripada kabinet rendah, ada kabinet sudut berkaca yang sesuai digunakan. Kabinet berkaca boleh di anggap seperti kabinet show case yang tujuannya untuk mempamerkan barangan hiasan. Amat sesuai jika menggunakan kabinet berkaca tinggi berbanding rendah kerana kabinet tinggi boleh menyimpan banyak barangan hiasan berbanding yang rendah. Selain daripada itu kedudukannya pada ketinggian aras mata memandang menyebabkan orang mudah melihatnya berbanding yang rendah.

Keistimewaan kabinet berkaca dapat menyimpan dan melindungi barangan hiasan daripada kekotoran seperti habuk selain menjaga barangan hiasan dari disentuh selalu. Ada setengah kabinet berkaca dilengkapi lampu dan dilengkapi cermin di permukaan belakang. Kesan penggunaan ini akan menjadikan kabinet ini lebih terserlah apabila lampu dihidupkan pada waktu malam.

Perabot tambahan dilihat amat diperlukan kerana dapat melengkapkan seri ruang. Dengan ada perabot tambahan dapat menutup beberapa ruang kosong pada sesuatu sudut selain digunakan untuk meletakkan hiasan dan ruang penyimpanan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/decor


Cermin memukau pandang

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


Ruang tampak lebih luas dilengkapi cermin besar.

Pantulan dan biasan tampilkan suasana lebih tenteram, unik

PERKEMBANGAN terkini hiasan dalaman menyaksikan keghairahan menonjolkan hiasan cermin merangkumi pelbagai bentuk, saiz, warna dan bingkai.

Penulis laman web http://ezinearticles.com, Jitesh Arora dalam artikelnya menyentuh keupayaan cermin dalam membangkitkan kesan menakjubkan, umpamanya cermin kecil yang disusun sepanjang dinding berupaya menampilkan kelainan suasana.


Petua menampilkan cermin

1. Berani bereksperimen dengan cermin.

Bagi yang ingin mencuba, mulakan dengan cermin kecil yang dipasang secara berkelompok. Kaedahnya, sama seperti anda mengumpulkan himpunan gambar berbingkai pada satu dinding.
Lilin di hadapan cermin membawa aura pesona.

Cermin besar yang digantung saling bertentangan memantulkan imej memukau pandang.

2. Awasi jarak ketinggian.

Cermin elok digantung setara paras mata. Kelemahannya, ukuran paras mata anda mungkin tidak sama dengan anggota keluarga lain menyebabkan cermin janggal dipandang.

3. Bermain dengan pantulan

Tiga perkara perlu dipertimbangkan bagi mendapatkan kesan pantulan.

  • Tingkap - Sesuai untuk bilik satu tingkap atau tingkap kecil. Seindah impak yang dititipkan lampu hiasan, demikian halnya dengan pantulan cahaya luar yang mampu mengubah suasana bilik menjadi lebih bercahaya dan nampak lagi luas.

  • Penggunaan cermin lain - bertujuan mendapatkan pantulan cahaya dari tingkap. Pertambahan cahaya membuatkan bilik bertukar cerah dan lapang.

Bahkan pantulan terus dari dua cermin saling bertentangan menghasilkan corak tak berpenghujung.

  • Objek - cermin adalah medium sesuai menonjolkan rekaan dan corak perhiasan. Bagi mempelbagaikan kesan pencahayaan, tempatkan lilin di hadapan cermin berkenaan. Selain menghadirkan gaya unik, suasana tenang dan tenteram dapat diwujudkan.

Pilihan cermin kediaman

  • Cermin di sinki. Makin kecil bilik air, kian besar ukuran cermin diperlukan.

  • Cermin ukuran penuh yang digantung di bilik tidur menyenangkan anda berdandan.

  • Tempatkan cermin berhampiran pintu utama untuk memeriksa penampilan sebelum keluar rumah.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Warna kelabu tampak moden

Bahang matahari di luar rumah padam dibawa kesejukan warna dinding

SUSUN aturnya ringkas tapi menarik. Replika dan aksesori permotoran menghias hampir di segenap sudut kediaman membuatkan ada yang bertanya, mengapa motosikal yang menjadi fokus utama.

Bagi Sharifuddin Datuk Musa, jiwanya begitu hampir dengan motosikal berkuasa tinggi, lebih-lebih lagi dia sendiri adalah Presiden Kuala Lumpur Biker’s Club (KLBC) sejak enam tahun lalu. Jadi garapan idea untuk menghiasi kediaman jenis teres setingkat terletak di Taman Keramat, Kuala Lumpur tentunya menggambarkan empunya diri.



“Isteri saya sendiri tidak kisah malah dia menyerahkan tugas menghias pada saya. Tapi rumah ini masih baru diduduki, kira-kira enam bulan lalu. Jadi, masih banyak lagi ruang yang belum disentuh,” katanya.

Memiliki syarikat pembinaan membuatkan Sharifuddin begitu peka perihal hiasan dalaman. Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, tona kediaman musim ini banyak menjurus kepada warna kelabu.

“Jadi seluruh rumah dari ruang tamu, bilik tidur dan dapur dicat dengan warna kelabu. Selain mengikut peredaran musim, warna kelabu juga membuatkan ruang kediaman kelihatan sejuk dan tampak moden,” katanya.
Katil bujang pengganti sofa tempat bersantai sambil menonton televisyen.

Menjengah masuk ke ruang tamu, bahang matahari di luar rumah seolah-olah padam dibawa kesejukan warna dinding. Keseluruhan kediaman tampak ringkas dan digarap berkonsepkan minimalis menjadikan ruang tamu kelihatan lapang dan serba ringkas.

Perabot menghiasi ruang tamu sekadar sette coklat dari material kodroi menyuntik elemen maskulin. Mungkin pemilihan warna tanah memudahkan Sharifuddin menyuai padan kerusi empuk itu dengan perabot lain yang rata-rata dalam rekaan ringkas.

Selain mengilai aksesori perhiasan permotoran, lelaki berusia 30-an ini juga gemar koleksi barangan perhiasan berjenama mewah seperti Versace dan Gucci. Buktinya, jam dinding di ruang utama rumah juga dari jenama terkenal itu. Diperbuat daripada kayu, jam besar berjenama Versace itu dibeli ketika melancong ke luar negara bersama keluarga.

“Nak kata obses dengan jenama, tidaklah sangat. Tapi saya gemarkan perhiasan yang seragam dan secara tidak sedar, bila beli langsir pun pilih corak seperti Gucci.

Kamar mandi kemas dan tersusun.

“Saya juga lapik katil bujang yang diletakkan di ruang menonton dengan cadar Louis Vouitton. Selain nampak seragam, katil lama ini memberikan kelainan pada ruang tamu yang luas ini selain memberikan keselesaan pada anak-anak ketika menonton,” katanya.

Tidak ketinggalan, kegemaran Sharifuddin bergambar dan berkonvoi bersama ahli KLBC dipahat di setiap gantungan poster pada dinding kediaman mewujudkan suasana intim dan dekat pada rakan taulan.

Sebelum dibawa melihat sekitar rumah, Sharifuddin terlebih dulu melangkah ke sebuah bilik di tengah rumah. Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, bilik berkenaan menyimpan ‘harta’ bernilai yang menjadi kesayangannya.

“Di bilik ini saya simpan koleksi jaket motosikal, puluhan topi keledar, sarung tangan dan topi yang dimiliki sepanjang terbabit dalam aktiviti permotoran. Ada antaranya yang masih saya gunakan dan sebahagian lagi dipamerkan sebagai tanda ingatan.

“Selain koleksi pakaian permotoran, saya juga gemar mengumpul jam berjenama, tali pinggang dan topi sepanjang menyertai konvoi,” katanya.

Menjengah kamar beradu pasangan suami isteri yang pernah bergelar model peragaan suatu ketika dulu, pilihan warnanya juga tetap nada kelabu. Dihias ringkas katil Versace dan almari pasang siap yang dibina melekat di dinding.

Bilik untuk sepasang cahaya matanya dilatari warna merah garang. Tilam sengaja dibina di atas pelantar yang dibina khas menggantikan katil. Dinding tidak dibiar polos tapi dihiasi lukisan karikatur isteri dan dua anaknya.

“Hanya satu yang isteri saya buat, dia suka memasukkan gambar keluarga di dalam bekas kaca seperti botol dan gelas untuk dijadikan hiasan. Tapi, hiasan motor tetap penuh termasuk di dapur,” katanya seraya menunjukkan deretan motosikal mini yang tersusun elok di atas peti sejuk dan para dapur.

INFO: Menghias cara Shar

  • Ruang rumah yang dulunya dibina rapat ke pagar dipecah dan dikecilkan demi memenuhi keinginan pemilik yang inginkan taman hijau menghiasi laman rumah.

  • Segenap ruang dihias aksesori perhiasan permotoran seperti replika motosikal berkuasa besar, vespa seramik, poster manakala sebuah bilik diperuntukkan khas untuk menyimpan kelengkapan bermotosikal.

  • Kelengkapan rumah rata-ratanya mempamerkan lambang jenama terkenal seperti Gucci, Versace dan Louis Vuitton yang dibeli ketika melancong di luar negara.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Hijau coklat bangkitkan karektor ruang

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


COKLAT redup dan putih mewakili gaya moden kontemporari di ruang tamu rasmi.

Syafawy dapat ilham ubah suai ruang dalaman menerusi rujukan majalah serta program televisyen

SELAMA menyewa di Klang Perdana, Ahmad Syafawy Mohd Samuri menahan diri membeli perabot bilangan penuh. Kelengkapan dimilikinya sekadar memenuhi keperluan. Katil misalnya dibeli untuk berehat dan melelapkan mata, almari bagi menyimpan pakaian malah meja makan pun tidak dibelinya.

Bukan Syafawi tidak mampu tetapi pendapatan bulanannya disimpan untuk membeli rumah. Hasratnya itu termakbul pada 2005 sebaik kunci diserahkan, pengubahsuaian mula dirancang membabitkan bahagian dapur, siling, lantai serta ruang utiliti.

Tidak berapa menyukai kedudukan dapur terbuka, Syafawi membuat perubahan dengan membina kabinet unit dasar dan gantung serta kaunter sarapan yang membabitkan perbelanjaan hampir RM6,000. Kaunter sarapan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan. Masa yang lama diambil kerana Syafawy menggunakan khidmat dua kontraktor.

“Sudah nasib saya mendapat kontraktor yang tidak menepati masa,” katanya walaupun terpaksa mengeluarkan lebih belanja, berpuas hati kerana dengan pengubahsuaian itu sempadan ruang makan dengan ruang dapur berjaya dibentuk.

Tambahnya, “Saya kurang berkenan dengan pelan lantai tipikal rumah yang menempatkan ruang dapur sebelah pintu masuk. Saya tidak berminat membina dinding dan pintu kerana ia menyekat pandangan. Ilham membina kaunter sarapan bersama kabinet hiasan berpintu kaca sudah lama bermain di kepala. Saya kemudian meminta kontraktor memasang kepingan blok kaca di badan kaunter bagi menyuntik estetika binaan berbingkai kayu.”



KAUNTER sarapan berbingkai kayu dihiasi blok kaca kabut.

Selain itu, ilham ubahsuai diperoleh menerusi rujukan majalah, program televisyen yang ditonton selain kunjungan ke beberapa tempat menarik. Siling rekaan petak berbingkai misalnya dibuat merujuk rekaan siling restoran Pizza Hut.

Seawal memilih lampu, Syafawy berhasrat menggunakan lampu bercahaya biru, tetapi membatalkan niatnya itu kerana lampu berkenaan membiaskan cahaya menyilau mata.

“Kesan pancaran cahaya pada waktu siang berbeza dengan sebelah malam. Pada siang hari, cahayanya cukup lembut dan romantik tetapi menjelang malam, silaunya memeningkan kepala. Ini punca saya menukarkannya kepada lampu bercahaya kuning,” katanya.

Gaya penataan moden kontemporari sebab utama cat dinding coklat tanah diterapkan bersama warna hangat hijau lemon. Ilham menggandingkan dua warna bertentangan dipinjamnya daripada satu episod Casa Impian.


HIJAU dan coklat selalu menyatu, menampilkan kelainan gaya.


Syafawy pada awalnya mengaku ragu-ragu keupayaan coklat dan hijau membangkitkan karektor ruang. Justeru, pilihan lebih ditunjangi coklat atau kelabu.

Warna hijau segar ditonjolkan buat pertama kalinya menerusi hiasan pelengkap seperti gambar berbingkai. Setelah dicuba, baru dia menemui keserasiannya menyebabkan hijau sekali lagi dijadikan rujukan ketika membeli alas pinggan fabrik, napkin dan jambangan bunga tiruan.

Namun, untuk perabot khususnya perabot asas sofa, kabinet televisyen, meja kopi, konsol, meja sisi dan set ruang makan, warna coklat tetap diutamakan. Ini kerana Syafawy berpendapat, coklat berkarisma mengungkap cita rasa dan gaya penataan moden.

Ditanya kecenderungannya memilih konsep moden, Syafawi memberitahu, gaya itu mudah dipadankan dengan sebarang peranti elektrik selain serasi dengan sebarang rekaan perabot, perhiasan mahupun kemasan.

Oleh kerana tidak mahu menyempitkan pilihan, Syafawi merancang menghias ruang tamu rasmi dengan kertas dinding.

“Saya mungkin memasang kertas dinding di ruang tamu. Sudah tentu bukan motif flora kerana cita rasa saya menjurus kepada sentuhan retro hitam-putih. Cuma ruang itu saja, dinding selebihnya masih mengekalkan cat coklat lembut,” katanya yang mendakwa coklat warna kegemaran sejak kecil.

Sungguhpun memiliki balkoni luas iaitu berukuran kira-kira 1 meter x 2.4 meter, Syafawi tidak merancang menempatkan sebarang perabot di situ, biarpun cuma set kerusi meja taman. Selain jarang bersantai dan mengambil angin di balkoni, Syafawy tidak mahu set perabotnya rosak dek tempias hujan.

Info

Ubahsuai kabinet dapur

  • Ubahsuai kabinet dapur unit dasar dan gantung membabitkan perbelanjaan RM3,200

  • Kaunter sarapan bersama kabinet hiasan pintu kaca dibina dengan harga RM2,500.

  • Ruang utiliti ditukar fungsi menjadi ruang dapur basah. Jeriji diroboh untuk digantikan dengan pintu kaca gelangsar.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Alas meja mencorakkan suasana

Oleh Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)

Selain berfungsi sebagai hiasan juga melindungi permukaan daripada kotor dan rosak

TIDAK lengkap bila melihat sesuatu hiasan terutama di atas meja tidak dihiasi dengan sempurna. Meja yang digunakan dalam kediaman mempunyai fungsi berbeza dan kegunaannya dikhusus pada aktiviti tertentu. Ada meja yang digunakan untuk meraikan tetamu dan ada meja digunakan untuk kegunaan aktiviti harian rumah. Bagi kegunaan aktiviti harian rumah kebanyakan meja tidak dihias kerana bimbang merosakkan hiasan itu tetapi bagi meja yang digunakan untuk melayan tetamu keperluan hiasan amat diperlukan sekali.

Idea untuk menghias meja bukan hanya pada meja yang hendak dihias tetapi bagaimana hendak mengkomposisikan hiasan yang sesuai untuk diletak sebagai hiasan di atas meja. Salah satu keperluan untuk menghias yang amat penting adalah alas meja. Alas meja yang dianggap bahan hiasan yang remeh semakin diperkemaskan mengikut selera terkini untuk memberi hasil menawan dan mencorakkan suasana meja lebih berketerampilan.

Fungsi alas meja

Fungsi sebenar alas meja selain daripada hiasan adalah melindungi permukaan meja daripada kekotoran ataupun tumpahan makanan. Selain itu dapat melindungi permukaan meja daripada rosak. Sebagai contoh jika permukaan meja menggunakan bahan daripada kaca, maka bagi melindungi permukaan bahan kaca daripada hentakan adalah selamat diletakkan alas meja bagi melindungi permukaan itu. Selain bahan permukaan daripada kayu dapat dilindungi daripada tercarik atau bercalar oleh geseran bahan yang tajam atau berat.


Alas meja juga boleh digunakan pada permukaan kabinet rak dan juga konsul. Permukaan rak kabinet lebih terserlah dengan gabungan alas meja dan aksesori perhiasan yang disusun di atasnya.


Pilihan jenis alas meja

Alas meja ada pelbagai pilihan mengikut saiz meja atau gaya hiasan. Dulu alas meja perlu disesuaikan dengan bentuk meja seperti alas meja bulat untuk meja berbentuk bulat, alas meja persegi untuk meja berbentuk persegi dan sebagainya, tetapi sekarang sudah berubah di mana alas meja tidak perlu mengikut bentuk meja. Pilihan yang sesuai bagi menyerlahkan komposisi antara meja dengan alasnya adalah dengan memilih alas meja yang kecil dari ukuran saiz meja. Kedudukan yang terbaik bagi meletakkan alas meja adalah di tengah meja.

Sekarang ini alas meja kebanyakannya berbentuk persegi memanjang yang dipanggil runner. Table runner ini akan diletakkan memanjang di tengah meja.

Selain pilihan jenis alas meja, cara meletakkan alas meja juga penting supaya nampak berseri. Labuh pengalas meja juga bergantung kepada cita rasa individu. Ada sesetengah individu yang suka mengalas permukaan meja saja manakala sesetengahnya mahu menutup permukaan tengah dan tidak kurang juga yang gemar melindungi keseluruhan meja. Manakala bagi meja utama atau meja sisi yang berbentuk bulat sesuai menggunakan alas labuh supaya alas meja nampak beralun ke bawah dan menutup sebahagian kaki meja.

Pilihan reka bentuk dan fabrik alas meja

Pilihan alas meja dari segi reka bentuknya dan pilihan fabrik boleh diperoleh dengan mudah dan ada pelbagai pilihan di pasaran. Motif flora, abstrak dan berpetak yang dicorakkan dalam ukuran kecil bagi mengimbangkan komposisi alas meja supaya tidak terlalu menonjol dan menenggelamkan hiasan lain di atasnya. Pilihan sepertinya semestinya akan memikat hati pengguna dan seterusnya alas ini menjadi penyeri meja kopi dan sisi.

Sebarang fabrik boleh digunakan sebagai pengalas meja kopi dan sisi asalkan sesuai dengan konsep dan tema hiasan, antaranya kain satin, kapas, renda dan benang bulu kambing. Polyester juga boleh dijadikan alas meja. Bagaimanapun, pilihlah fabrik yang berat supaya apabila dihampar nampak cantik dan kemas. Jika menggunakan fabrik polos, serikan dengan sulam tampal, tebuk atau jahitan kun alur.

Alas meja daripada kain muslin boleh dihampar begitu saja tanpa perlu dijahitkan corak. Jika memilih kain renda, elok jika dihampar mengikut bentuk beralun.

Pilihan bahan alas meja bukan setakat fabrik saja tetapi juga bahan semula jadi. Bahan semula jadi daripada mengkuang, rotan atau jerami adalah bahan semula jadi yang selalu digunakan. Bahan ini dipelbagai dari segi warna dan gabungan lain bahan seperti gabungan bahan fabrik kapas dan berjahit labuci. Penghasilan kraftangan berbentuk alas meja ini boleh dijadikan pengalas meja kopi dan sisi ataupun meja kabinet.

Walau apa pun pilihan anda untuk alas meja, amat penting penyelarasan warna supaya wujud keseragaman di antara alas meja kopi atau sisi dengan perabot utama. Paling mustahak ialah memastikan warna alas meja selaras dengan warna langsir kerana gabungan warna itu akan mewujudkan satu tema bagi ruang anda.

Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Rancang susunan bingkai gambar

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


Contoh susunan bingkai gambar satu.

Menggantung gambar berbingkai memerlukan kemahiran dan perancangan teliti membabitkan atur letak, pelan dan ukuran dinding yang terbahagi kepada beberapa kategori:

Luas tanpa hiasan

Dinding ini sesuai dihiasi potret besar bersama beberapa keping lukisan dan poster. Elakkan meletak hanya sebuah gantungan gambar kerana dinding luas menyebabkannya nampak janggal selain menenggelamkan keindahan gambar.

Polos dan berwarna cerah

Anda beruntung memiliki dinding begini kerana berpeluang menonjolkan latar manis lukisan yang dicetuskan warna air dan pastel. Bingkai gambar berwarna redup sehingga sederhana cerah pilihan terbaik kerana mampu bersatu dengan tona dinding.

Polos dan berwarna gelap



Contoh susunan bingkai gambar dua.

Lukisan cat minyak dan akrilik bersama bingkai kerawang, sarat hiasan dan berwarna dramatik paling sesuai menyeri dinding ini.

Dinding dengan kertas dinding bercorak

Memilih hiasan untuk dinding dilitupi kertas dinding amat mencabar terutama yang bermotif sarat dan berani. Jika ingin menyelitkan hiasan, anda disyor memilih bingkai gambar yang mengutarakan corak seakan warna kertas dinding paling dominan.

Bagi menyerlahkan penampilannya di permukaan dinding yang bercorak itu, gambar dan lukisan pilihan harus mempunyai persamaan warna dengan kertas dinding.


Kelompok gambar

Usah gantung gambar dulu, sebaliknya kumpulkan di lantai berdekatan dinding yang bakal dihiasi gambar berkenaan. Acukan mana-mana tempat yang dirasakan sesuai sehingga bertemu susun letak terbaik.

Anda boleh mencuba beberapa gaya susun atur ini;

1. Koordinasi (keselarasan)

Tetapkan dulu tema dan warna misalnya gambar motif pemandangan laut, bunga, senario kampung, suasana bandar dan sebagainya.

Jika gambar yang dipilih bukan dari keluarga tema sama, selaraskan ragam gayanya menerusi bingkai gambar sama bentuk dan ukuran.

2. Dalam bingkai

Beberapa gambar kecil disatukan dalam ‘bingkai’ gambar lebih besar. Gaya kediaman Perancis yang mewujudkan ‘bingkai’ menggunakan helah cat, membina alcove (ruang kecil untuk beristirahat) atau mencuba teknik stensil.

3. Susunan Bingkai Gambar

  • Susunan Sebaris

Sekumpulan gambar dalam bingkai pelbagai bentuk dan ukuran cantik jika sisi atas dan bawahnya diberi susunan sebaris. Anda boleh mula menggantung gambar di bahagian tengah garisan (garisan diwujudkan menerusi bayangan minda atau lorekan pensil) dulu sebelum disusuli gambar seterusnya.

  • Dalam sebuah bingkai

Cari bingkai berpanel atau berhias stensil. Susun atur dirancang dengan menempatkan bingkai saiz besar di luar sebelum menambah beberapa gambar berbingkai kecil di dalam ruang.

  • Sama jarak

Susunan ini lebih berkesan untuk bingkai berbentuk empat segi sama dan tepat. Pastikan kedudukan bingkai disusun sebaris dengan jarak di antaranya dikekalkan sama rata.

  • Satu bingkai besar disusuli beberapa bingkai kecil

Beberapa gambar berbingkai kecil sama ukuran mengapit sebuah gambar bingkai besar diketengahkan bagi membentuk simetri (keseimbangan). Jarak di antara bingkai juga harus sama besar.

  • Susunan Silang

Wujudkan garis silang ‘khayalan’ di dinding dan tempatkan bingkai terbesar di bawah garis melintang. Bingkai lebih kecil ditempatkan di atas garis silang berupaya membentuk keseimbangan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Hiasan ceria kamar si comel

Oleh Bennie Zie Fauzi bennie@bharian.com.my


Warna dramatik dan terang mampu merangsang perkembangan minda anak.

Gaya penataan harus memfokuskan elemen selesa, tenteram dan mencerminkan kegembiraan

BERGELAR ibu bapa satu anugerah terutama yang bakal menimang cahaya mata pertama. Meskipun, kandungan masih di peringkat awal, ada yang mula menjelajah butik dan kedai kelengkapan bayi mendapatkan ilham hiasan bilik si kecil.

Memilih dan menyempurnakan penataan bilik bayi boleh memenatkan jika tema tidak ditetapkan dari awal. Cara terbaik, anggap menghias bilik bayi seperti menyiapkan penataan bilik sendiri.

Gaya penataan harus memfokuskan usaha menyajikan elemen selesa, tenteram dan mencerminkan kegembiraan menyambut ahli baru.

Sherrie Le Masurier, dalam artikelnya Baby Room Decorating Ideas Made Easy untuk laman web http://www.decorating - baby - rooms.com mengesyorkan kemasan dan perhiasan diberi warna sedondon.

“Ketika kelahiran bayi pertama, saya dan suami mahukan warna tenang dan selesa supaya ruang sempit nampak luas. Kami memilih dinding hijau lembut bagi menimbulkan reka bentuk perabot selain serasi bergandingan dengan kusyen kerusi goyang warna peach. Corak langsir pula sedondon warna putih katil bayi,” katanya.


Jangan gentar bermain warna kala menghias.

Sherrie menasihatkan ibu bapa supaya tidak gentar bermain dengan warna dan ia patut ditonjolkan menerusi dinding, tingkap, fabrik, perhiasan termasuk permainannya.

Warna dramatik dan terang dipercayai merangsang perkembangan minda bayi. Namun, tidak bermakna anda tidak boleh menyerlahkan warna lembut pada dinding, terendak lampu, permaidani dan bingkai gambar.

Pilih katil, hiasan dinding dan perhiasan yang boleh membesar bersama anak anda. Ini diperoleh menerusi pilihan warna sedap mata memandang, perabot tahan lama dengan rekaan yang tidak menggambarkan peringkat umur tertentu.

Bilik yang diadun sempurna mampu digunakan anak sehingga umurnya mencecah prasekolah. Namun, sesuai usia dan cita rasa, pastikan perabot dibeli lebih besar bagi menampung tubuhnya yang semakin membesar. Suasana bilik diberi nafas baru menerusi satu dua perhiasan baru, misalnya anda boleh menambah perhiasan dinding menepati cita rasanya, memasang mural, menyelitkan bantal santai, memasang penyangkut pakaian motif kartun dan sebagainya.


Inspirasi tema haiwan kesayangan.

Inspirasi Tema Bilik Bayi

Kesukaran menentukan tema bilik bayi boleh dikurangkan dengan menyuntik cita rasa peribadi. Misalnya jika anda gemar bersantai di pantai dan belayar meneroka dunia, selitkan angan-angan anda itu sebagai sebahagian tema hiasan. Anda juga boleh menyerikan ruang dengan mempamerkan permainan sewaktu kanak-kanak.

Anda juga boleh mengilhamkan hiasan menarik melalui warna dan motif fabrik digemari. Beberapa tema yang boleh diabadikan dalam gaya penataan termasuk:

Mainan vintage

Warna tema termasuk hijau hutan, merah dan biru kelasi. Hiasan bertumpu kepada dinding dan katil yang diberi sisipan blok kayu, permainan kuda goyang, patung beruang, badut dalam kotak dan sebagainya.

Pasang kertas dinding sempadan motif kartun beruang dan kuda goyang bersama langsir renda yang diberi sentuhan antik.

Warna asas

Disisipkan menerusi tema belon, bentuk dan nombor. Langsir singkat potongan belon dipasang melapisi fabrik sheers dan diikat kemas dengan pengikat langsir aneka warna berhias butang warna terang.

Ketengahkan katil bercetak gambar kartun dan beri sentuhan baru kepada kabinet lama dengan mengecatnya warna putih dan laci dicat warna berbeza.

Bakul menyimpan barang dan kain kotor dicat warna asas pastel dan krim. Tambah menarik andai dinding dicat teknik span serta ditambah motif belon dan nombor.

Pastikan bilik tidak menonjolkan terlalu banyak warna terang kerana boleh mengganggu lena dan fikiran anak.

Hutan hujan

Masukkan unsur burung dan rama-rama mainan yang boleh bergerak di siling mengiringi pelekat dinding motif tumbuhan tropika.

Suasana hutan diserlahkan menerusi mural gambar hutan tropika, kertas sempadan dinding corak belukar, langsir motif buluh dan untaian manik kayu menabiri rak penyimpanan terbuka.

Langit biru

Biru warna popular ditonjolkan menerusi siling berlukis motif langit dan tompokan awan. Hiasan tambahan berupa pelekat hiasan bulan bintang yang bersinar dalam gelap mampu melekakan bayi sebelum tidur.

Haiwan kesayangan

Tema sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Susun patung haiwan di penjuru bilik, dinding ditampal poster haiwan begitu juga cadar dan langsir diberi motif serupa. Corak tapak kaki haiwan dibentuk menggunakan teknik stensil ditampilkan di kepala katil.

Nautika dan dasar laut

Kanak-kanak lelaki cenderung memilih hiasan kapal layar dan rumah api manakala perempuan yang berjiwa lembut dan perasa, elok ditampilkan tema hiasan berasas cengkerang, kulit siput dan segala yang berkait pantai.

Gaya penataan menyamankan mata dijelmakan dengan mural dan hiasan dinding bertema pengembaraan dasar laut, kertas dinding sempadan corak ombak di samping hiasan tambahan gambar ikan duyung, tapak sulaiman dan kuda laut.

Bagi menampakkan kelainan, bilik dilengkapi lampu tidur bentuk kendi dan jala ikan dijadikan hiasan dinding.

Sumber : http://www.bharian.com.my/dekor

Tema Jepun lebih lapang

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

Perabot dan kemasan warna alam bangikitkan suasana tradisi Negara Matahari Terbit

ENAM bulan bermastautin di Osaka, Jepun, Shahril Suleiman semakin terbiasa dengan gaya hidup dan seni bina rumah Jepun. Sewaktu dihantar berkursus di Kitahanada, Osaka, sesekali Shahril berkunjung ke rumah keluarga angkatnya yang menetap di situ sehingga jatuh hati dengan hiasan dalamannya.

Sungguh pun pelan lantai kediaman mereka tidak seluas mana, Shahril kagum dengan susun atur ruangnya yang kemas terancang.

“Saya ingat lagi rumah itu kecil dan comel. Boleh dikatakan selesa untuk empat atau lima penghuni saja namun perancangan ruangnya teliti dan sistematik. Ruang dapur dilengkapi kelengkapan elektrik moden manakala ruang menonton biarpun sekangkang kera namun terasa lapang kerana bilangan perabot dikurangkan.

“Hanya keperluan saja mengisi ruang. Gaya penataan begini menjimat ruang dan konsep ini juga yang cuba saya tiru di kediaman sekarang,” katanya yang menggunakan tema sama untuk menata hias rumah dua biliknya di Sentul.

Justeru, selama berada di negara matahari terbit itu, Shahril tidak teragak-agak membeli apa saja barangan hiasan rumah yang berkenan di hatinya. Bermula dengan noren atau tirai pintu, Shahril menambah himpunan menerusi pembelian beberapa cenderamata yang berupaya mengungkap budaya Jepun.


Pokok hidup disisihkan di penjuru untuk terapi mata.

“Saya ada juga bawa pulang dua tiga omiyage bermaksud cenderahati. Saya beli yang mana berkenan ikut kemampuan maklum harga barang di Jepun mendera poket. Namun, sebaik terpandang noren, saya terus berazam memilikinya. Saya suka benar dengan corak gulungan ombak yang diketengahkan,” katanya.

Noren bersama himpunan omiyage membentuk sebahagian perhiasan rumahnya sekarang. Minat terhadap hiasan dalaman Jepun masih menebal di jiwanya namun terpaksa dilupakan dulu berikutan kesukaran mendapatkan produk seumpamanya di pasaran tempatan.

Kesinambungan tema Jepun cuma diutarakan melalui pilihan tona semula jadi yang menjadi tanda pengenalan negara itu.

“Melalui pengamatan, saya dapati mereka senang
dengan warna alam yang diinspirasikan menerusi pohon buluh, air terjun, laut, batu sungai, tanah dan sebagainya,” katanya.

Dinding coklat kayu manis menambah redup bi
lik tidur ditunjangi lampu cahaya romantik.

Redup warna itu memberi ilham buat Shahril mencuba cat dinding coklat tua berpadu kuning mentega di ruang tamu manakala coklat kayu manis diberi kepercayaan melatari bilik tidur. Penggunaan dua warna saling bertentangan di ruang tamu dilakukan bagi menunjukkan dinding tumpu dan mencipta kesan luas di ruang.

“Coklat dan kuning tergolong dalam warna semula jadi. Selain mewarna dinding, saya perlukannya untuk meredakan suasana bahang berpunca daripada kedudukan rumah menghadap matahari. Warna ini juga mampu menyerlah kewujudan pokok hidup di penjuru dinding,” katanya sambil menunjukkan sebuah pasu yang ditempatkan di antara dua sofa fabrik.

Hijau lumut warna pertama melintas di kepala sewaktu memilih bilik tidur namun selepas berfikir berulang kali Shahril tidak mencubanya kerana warna berkenaan belum cukup mendamaikan.

Dalam rancak berbual, timbul cerita mengenai keinginannya menitipkan hiasan dalaman bali kira-kira tujuh tahun lalu.

Menyifatkan gaya berkenaan cukup digilai ketika itu, minatnya lenyap selepas perbandingan dibuat. Biarpun sama-sama berakar umbi dari timur, Shahril mendapati gaya minimalis Jepun lebih serasi buat golongan bujang sepertinya berbanding bali yang sarat spiritual.

Ditambah, budaya Jepun mewah makna tersurat dan tersirat hinggakan satu titik pun membawa pengertian besar dalam hiasan dalaman.

TIP: Tujuh langkah menghias pangsapuri kecil

Menghuni pangsapuri kecil tidak menyekat peluang anda menghias. Sebaliknya, ikut langkah berikut bagi memperoleh hasil mengujakan;

1. Maksimumkan ruang melalui perabot berbilang fungsi. Misalnya kerusi ottoman selain berfungsi sebagai tempat duduk juga dijadikan meja. Untuk ruang sempit, cari meja kopi lebar dan tinggi supaya boleh dijadikan meja makan.

2. Bina ruang penyimpanan bagi m
enyembunyikan barang tidak perlu. Beli bekas menyimpan plastik yang muat disimpan di bawah katil. Meja kopi dan kerusi ottoman biasanya dilengkapi ruang penyimpanan berlaci.

3. Ukur perabot sebelum beli. Perabot besar mengambil banyak ruang. Justeru, pilih yang tinggi berbanding lebar.

4. Pastikan ruang tidak diisi pera
bot kurang perlu. Ini boleh mengganggu aliran pergerakannya. Penghuni mungkin berlangg
ar dengan bucu perabot.

5. Warna monokrom (hitam dan putih) memberi kesan luas. Elak memilih perabot besar dan sarat corak kerana membuat ruang bertambah sesak.

6. Gantung cermin besar di dinding. Cermin berupaya memantul cahaya sekali gus menyebabkan ruang sekali ganda luas.

7. Lengkapi ruang dengan aksesori yang mampu mengungkap peribadi. Jangan sumbat segala benda di ruang sebaliknya hadkan pilihan namun masih berupaya mencuri tumpuan ramai.

Sumber : http://www.bharian.com.my/decor

Reka bentuk dalaman: Fungsi meja kopi, sisi

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM, Shah Alam)



Meja besar boleh menempatkan perhiasan dan buku kegemaran.

Kedua-dua perabot tidak sama peranannya kerana hidangan diletakkan di meja kopi manakala barangan hiasan di meja sisi

Perabot dicipta mempunyai fungsi dan kegunaan tertentu. Fungsi itu perlu disesuaikan dengan aktiviti dilakukan, jika tidak perabot berkenaan tidak dapat digunakan dengan baik. Setiap ruang memerlukan perabot kerana ia menjadikan ruang lebih berfungsi.

Ruang tamu misalnya, set sofa diperlukan untuk menjadikan ruang itu berfungsi dengan baik. Set sofa pula tidak boleh bertindak sendirian tanpa sokongan perabot lain bagi melengkapi fungsi. Justeru, meja kopi dan sisi diperlukan untuk digandingkan bersama set sofa.

Fungsi

Apakah fungsi meja kopi dan meja sisi? Fungsi utama meja kopi untuk kemudahan meletak hidangan manakala meja sisi digunakan sebagai tempat mempamerkan barangan hiasan. Bagaimana pula kedudukan reka letak meja kopi dan meja sisi?



Meja kopi lazimnya diletakkan di tengah-tengah set sofa pada ruang tamu manakala meja sisi pula sudah tentu diletakkan di sisi kerusi sofa terutama sofa panjang.
Meja kopi segi empat mudah disesuaikan di tengah dan sudut ruang tamu.

Disebabkan fungsi dan kedudukan meja kopi dan meja sisi tidak kekal, maka tidak semua orang membeli set lengkap. Sebaliknya, mereka memilih sofa saja untuk digandingkan dengan meja kopi atau sisi daripada jenis lain dengan reka bentuk lebih unik dan cantik.

Reka bentuk

Reka bentuk memainkan peranan penting menentukan sama ada meja kopi dan sisi berfungsi dengan baik. Pertama, yang perlu dipastikan adalah saiz meja berkenaan bagi menentukan kesesuaian untuk digandingkan dengan set sofa dan keluasan ruang.

Jangan memilih ukuran besar jika ruang tamu tidak luas kerana ia mengambil sebahagian besar ruang selain menghalang dan mengganggu pergerakan. Begitu juga dengan meja kopi kecil yang tidak disyorkan menghiasi ruang tamu luas supaya kehadirannya tidak janggal digandingkan dengan set sofa.


Pemilihan perabot kriteria utama menentukan kesempurnaan ruang.

Ukuran meja kopi yang besar kemungkinan digunakan tuan rumah bukan untuk meletak hidangan saja tetapi juga ditempatkan perhiasan dan buku kegemaran.

Ketinggian meja kopi dan meja sisi biasanya sama iaitu ketinggian minimum 16 inci dan maksimum 18 inci dari paras lantai. Jika ketinggiannya tidak dipastikan, mungkin terpilih meja kopi yang terlalu rendah atau tinggi seterusnya menyebabkan reka bentuknya janggal.

Reka bentuk biasa meja berkenaan adalah segi empat menyebabkannya mudah disesuaikan pada kedudukan di tengah dan di sudut. Begitupun, ada juga yang berbentuk bulat dan segi tiga. Justeru, sebelum memilih, pastikan dulu bentuk dan ukurannya agar tidak mengganggu pergerakan selain tiada sisi meja tajam yang membahayakan keselamatan. Kalau boleh, warna, reka bentuk dan kemasannya mampu bergandingan dengan perabot lain.

Sesetengah meja kopi dilengkapi ruang simpanan terbuka dan berlaci untuk diisi majalah dan akhbar. Sekiranya berhasrat mempamerkan koleksi peribadi, pastikan dimensi meja bersesuaian ukuran bahan perhiasan.

Pasti nampak janggal barangan kecil di atas meja besar, ia sebenarnya sesuai dipamerkan di meja sisi. Biasanya, meja kopi hanya dihiasi jambangan bunga atau bekas menarik daripada kristal, perak dan kayu. Perhiasan kecil lebih sesuai disusun berkumpulan.

Bahan dan kemasan

Selain reka bentuk, pemilihan bahan juga penting bagi memastikan sesuatu perabot menarik serta mempunyai nilai dari segi mutu. Sebahagian besar meja kopi dan sisi diperbuat daripada kayu keras seperti meranti, nyatoh dan mahogani selain logam dan rotan. Kesemua bahan ini harus digarap dengan baik bagi menghasilkan reka bentuk yang baik dan bermutu bagi disesuaikan dengan set sofa.

Kemasan adalah penyudah kepada bahan yang digunakan. Sekiranya kemasan yang digunakan tidak baik dari segi mutu kerja maka bahan yang digunakan tidak menampakkan nilai dari segi mutu dan keaslian bahan digunakan.

Pemilihan

Pemilihan perabot dan bagaimana ia disusun adalah kriteria utama dalam menentukan kesempurnaan ruang. Bagi mengelakkan konflik identiti sebaiknya beli set sofa berserta meja kopi dan sisi yang disediakan sekali. Begitupun, cita rasa manusia berbeza dan sukar ditentukan menyebabkan kebanyakan mereka gemar membeli meja kopi dan sisi secara berasingan. Alasan diberikan pastinya reka bentuk dan kemasan menarik yang ditawarkan. Yang mungkin tidak didapati jika membelinya bersama set sofa.

Faktor harga turut mempengaruhi pemilihan. Set sofa yang dianggap keperluan utama dibeli dulu berbanding perabot lain. Penjual pula menyediakan pilihan menerusi penetapan harga yang berbeza tidak kira yang dibeli set penuh atau tidak.

Set meja kopi dan meja sisi walaupun berbeza jenis, dinasihatkan dipilih daripada warna bahan, reka bentuk dan kemasan yang sepadan dengan perabot lain. Ini bagi mengelakkan berlakunya perbezaan ketara pada ruang itu nanti. Selain itu, pemilik ruang boleh membeli meja yang sudah siap atau ditempah mengikut rekaan dan keperluan sendiri.

Tip memilih meja kopi dan meja sisi

  • Guna cermin sebagai lapisan atas bagi melindungi permukaan meja dari calar sekiranya bahan yang digunakan daripada kayu. Pastikan cermin itu tahan hentakan.

  • Cari reka bentuk meja kopi dan meja sisi yang mempunyai kestabilan. Elak memilih reka bentuk berkaki satu yang dikhuatiri kurang stabil.

  • Tentukan saiz ruang meja kopi bakal ditempatkan bagi mengelakkan pemilihan ukuran meja kopi terlalu besar dan menghalang pergerakan.

  • Elak memilih meja berbucu tajam sekiranya berbentuk empat segi bagi mengelakkan kecederaan kepada kanak-kanak. Meja berbentuk bulat adalah selamat dan mudah disesuaikan dengan semua arah dan sudut.

  • Jangan meletak terlalu banyak perhiasan pada meja kopi dan meja sisi hingga menyebabkan hilang fungsinya. Gunakan bahagian tengah meja untuk mempamerkan hiasan dan pastikan bahagian setiap sisi dibiarkan kosong.

  • Meja kopi dan meja sisi boleh dijadikan ruang penyimpanan tertutup kerana meja kopi berbentuk kotak berukir dari bahan kayu atau rotan boleh diisi dengan majalah terpakai dan barang lainnya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/decor