Tuesday, March 31, 2009

Moden klasik pilihan Amber

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my



Perabot dan kemasan menonjolkan warna hitam, putih, merah dan kuning keemasan sesuai konsep

BERUNTUNG bergelar model seperti Amber Chia. Dalam usia semuda 27 tahun, gadis tinggi lampai ini pemilik banglo mewah yang menonjolkan garapan gaya moden klasik.

Penataan banglo tiga tingkat itu dapat dipenuhi oleh Edward dari Fix Interior yang mengambil masa sebulan untuk memenuhi cita rasa Amber.

“Saya hanya memberitahu mengenai konsep yang saya kehendaki untuk banglo berkenaan dan mereka melakukan kerja tata hias banglo sepanjang sebulan saya berada di Taiwan.

“Sekembali ke rumah, saya tergamam melihat hiasan dalaman serba lengkap. Gaya yang dititipkan nyata menepati cita rasa dan perwatakan saya,” katanya.

Selain konsep moden klasik, Amber gembira kerana semua perabot dan kemasan menonjolkan warna kegemarannya hitam, putih, merah dan kuning keemasan.
Dari kiri, almari pakaian dan set makan.

“Secara kebetulan warna ini popular di kalangan penggemar gaya moden klasik,” katanya.

Pertama kali memandang langsir malam dua tona di ruang tamu, berdetik perasaan tidak enak dalam diri Amber. Sungguhpun, mengusulkan warna coklat kegemarannya, dia mengaku mengambil masa menyukai langsir itu.

“Mulanya janggal dan lucu dipandang, lama kemudian saya perasan yang warna itu meredupkan pemandangan ruang,” katanya sebelum langsir disingkap sekali gus menghidangkan landskap segar halaman hadapan.


Melainkan mural bunga tulip dari Goodrich menghiasi dinding ruang makan, dinding selebihnya dibiarkan polos hiasan. Bagi Amber, kewujudan mural cukup berkesan sebagai titik tumpu ruang.
Amber di kamar tidurnya.

“Warna mencolok mata kelopak bunga mencuri tumpuan. Tulip bunga kesukaan dan memang saya merancang mengabadikannya di ruang makan,” katanya yang melengkapi ruang makan dengan kerusi fabrik.

“Saya berguru dengan pengalaman kala memilih perabot. Dulu, saya memiliki kerusi makan kayu namun tidak selesa. Saya tidak betah duduk lama kerana kerusi itu menyebabkan saya lenguh seluruh badan terutama di bahagian belakang. Tujuan saya beralih ke kerusi fabrik ini pun kerana ingin menghidangkan keselesaan kepada tetamu,” katanya.

Kerlipan cahaya kamera yang mengiringi langkahnya sewaktu memperaga mempengaruhi pilihan pencahayaan berciri mewah, klasik dan eksklusif. Kedudukan siling tinggi penentu kepada pemasangan lampu chandeliar kristal Alfo di ruang tamu dan ruang makan.

Bagi Amber, chandeliar adalah medium terbaik mendapatkan suasana eksklusif selain menepati ciri gaya klasik. Pencahayaan kalimantang tidak pernah memikat Amber sebaliknya lampu berfungsi boleh laras dipasang di bilik tidur, ruang berbedak, kamar persalinan bahkan ruang bersantai di aras dua.

Menyifatkan pencahayaan membantu mempelbagaikan suasana, Amber memerlukannya untuk memperoleh tidur lena, membangkitkan semangat bekerja, berehat malah ada kalanya dijadikan faktor sokongan dia membina karektor merujuk tuntutan penggambaran.

Kamar persalinan dianggapnya nadi kerjaya kerana di sini dihimpunkan pelbagai fesyen pakaian, aksesori juga kelengkapan berdandan.

Warna putih bersih menunjangi penataan diperlihatkan melalui almari Maxima berpintu kaca sorong mencecah siling. Menurut Amber, kemasan putih membuatkan warna busananya lebih menyerlah manakala pintu kaca tembus pandang memudahkan dia membelek, memilih seterusnya mengadun gayanya.

“Kelemahan almari kaca ialah ia mendedahkan segala isi di dalamnya. Namun, ini bagus kerana mengajar saya berdisiplin dalam mengemas dan menghias rumah. Saya pula selalu sibuk, kadangkala membuka menutup pintu almari mengambil masa. Menerusi rekaan telus pandang ini, saya boleh tengok, pilih, ambil dan terus sarung ke tubuh, senangkan?” kata Amber yang turut membina rak terbuka di bilik bersebelahan bagi menempatkan koleksi beg, kasut, buku dan album kenangan sepanjang pembabitan dalam bidang modeling.

Amber bertuah kerana kelengkapan dan perabot rumah mendapat tajaan yang diusahakan oleh Pengarah Kreatif Creative Home, Iko daripada Maxima, Pensonic, Goodrich, Goodnite, Red Apple, Baagus dan banyak lagi.

Tips: Pilihan Amber

Sofa - Sofa bentuk L selain berbilang fungsi (untuk bersantai dan berbaring) juga sesuai ditempatkan di mana-mana sudut ruang tamu. (DSM)

Tilam - Tidur penting bagi Amber dalam mendapatkan kesegaran wajah dan tubuh. Justeru, dia memilih tilam empuk disokong sistem spring lebar (Goodnite)

Langsir - Warna mewah langsir seperti coklat, peach dan krim meminjam unsur alam ke dalam rumah sekali gus mengundang persekitaran hangat, mesra dan semula jadi. ( Baagus)

Almari pakaian - Almari pakaian besar dan berpintu kaca membantu Amber merancang susun atur pakaian dan kasutnya. Tugas memilih pakaian menjadi lebih mudah dan cepat (Maxima)

Kepala katil Dipan - Selamat kerana mengurangkan risiko terhantuk kepada bucu katil. Katil ini juga sesuai dengan konsep moden klasik (Red Apple).

Sumber : http://www.bharian.com.my/dekor

No comments:

Post a Comment